Pada 20 Mei 1989, A. Samad Ismail telah mengisytiharkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang telah digubal oleh Jawatankuasa Penggubal Tatasusila yang diketuai oleh Pengerusi Institut Akhbar Malaysia, Mazlan Nordin (H.M Tuah Iskandar 1990) :
1. Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar.
2. Dalam melaksanakan tugas ini dia menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama.
3. Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar, filem dan dokumen.
4. Sebarang maklumat yang tersiar yang didapati tidak benar hendaklah diperbetulkan.
5. Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita.
6. Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan menggelakkan diri daripada plagiarisme, fitnah dan hasutan tuduhantidak berasas serta rasuah dalam apa jua bentuk sekalipun.
7. Wartawan hendaklah menghindarkan siaran berita atau rencana yang bersifat perkauman dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia.
8. Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.
Apa yang menjadi masalah dalam hal ini adalah penghayatan dan amalan etika dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai wartawan. Sebagai contoh, pada 5 Januari 2006, media komunikasi menyiarkan berita berhubung kes kononnya seorang wanita warga China di arah melakukan ketok ketampi dalam keadaan berbogel di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 23 November 2005. Kemudian ia ditayangkan pula di Parlimen selama 30 saat oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim. Persoalannya adakah wajar berita sebegini dipaparkan di khalayak umum di Parlimen? Di mana letaknya penghayatan terhadap etika media komunikasi? Apakah sumbangan dan nilai berita yang sebegini rupa? Apakah pandangan negara luar terhadap kewibawaan negara ini? Akhirnya media komunikasi menjelaskan bahawa wanita berkenaan adalah seorang wanita Melayu dan bukannya warga China seperti yang disiarkan pada awalnya.
No comments:
Post a Comment