Metode yang disarankan Rasulullah s.a.w.
Lidah sebagai salah satu deria penyampai mesej turut dituntut oleh Islam agar bertutur dengan kata-kata yang baik sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam” (al-Bukhari, Sahihal-Bukhari, kitab al-Adab, bab 31: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya). Islam meletakkan kedudukan mesej yang baik itu sebagai satu sedekah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Perkataan yang baik itu adalah sedekah” (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, kitab al-Adab, bab 34: Perkataan yang baik). Sebaliknya mesej yang buruk serta tidak berfaedah mempunyai nilai dosa yang besar di sisi Allah s.w.t. Lantaran itulah maka Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Memaki seorang Muslim itu adalah fasiq” (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, kitab al-Adab, bab. 44: Tegahan dari mencela dan melaknat). Baginda juga bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang sentiasa menjaja kata-kata yang keji” (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, kitab al-Adab, bab 49: Mengumpat adalah dari dosa besar). Berhubung dengan kesan sesuatu mesej itu pula, Islam mengatur sistem akhlak yang mampu mencetuskan dan menyemarakkan keharmonian dan ketenangan dalam kehidupan manusia. Lantaran itulah, maka penyampaian mesej yang baik serta mempunyai kepentingan atau maslahah amat dituntut.
Sebaliknya segala mesej yang negatif dan boleh mengundang keburukan dan kemudaratan adalah dilarang sama sekali. Dalam konteks ini, setiap kebaikan yang dianjurkan oleh Islam itu mengandungi maslahah serta membuahkan hasil yang baik, manakala setiap perkara yang dilarang pula mengandungi kemudaratan dan akan membuahkan hasil yang buruk dalam kehidupan. Kesan daripada mesej yang positif akan mampu membina masyarakat sejahtera. Manakala kesan dari mesej yang negatif akan menimbulkan pelbagai keburukan dan kejahatan. Ini kerana setiap mesej yang disampaikan itu mempunyai pengaruh yang kuat terhadap pembentukan sikap dan pemikiran seseorang. Dalam hal ini, al-Qur’an dan al-Sunnah yang merupakan sumber bagi ajaran Islam berperanan menyampaikan mesej-mesej yang jelas mempunyai kesan tertentu dalam kehidupan yang boleh dilihat. Sebagai contoh, mesej larangan minum arak, berjudi, berzina dan sebagainya, semua perkara tersebut mengundang pelbagai keburukan dan kemudaratan dalam kehidupan manusia. Begitu juga dengan mesej yang menganjurkan supaya beriman kepada Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat dan lain-lain, amalan-amalan tersebut akan mendatangkan kebaikan dan maslahah kepada manusia.
No comments:
Post a Comment